Sekapur sirih

Assalamualaikum buat semua pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi melayari blog ini. Semoga kalian mendapat info-info baru dan bermanfaat untuk diketahui dan diamalkan insya allah.

18 May 2011

Tika hati berbicara

"Aduh, penatnya rasa diri ini. Seharian suntuk bekerja. Awal pagi lagi, dah buat gerak kerja jamaah, nak laksanakan tanggungjawab amanah yang diberikan kepadaku. Petang pula, selalunya nak bersiap mengajar, kalau tak ada kelas petang, tempat selalunya yang akan aku tuju hanya satu - pejabat. Kalau ada kelas malam, bersiap nak pergi Pasir Putih. Balik tu selalunya, sambung lagi buat gerak kerja.. Argh, penatnya badan ini," monolog dalaman yang selalu ku ungkapkan dalam hati ini.

"Sudah sudahlah tu, rehat rehatkanlah diri tu." Itulah kata-kata yang acapkali ku dengar bukan sahaja daripada keluargaku malah sahabat-sahabatku juga ada yang mengatakannya.

"Aduh, panasnya hari ni. Ada program lagi. Jauhnya tu. Nak naik bas, jalan kaki lagi nak pergi tempat program."

"Alamak, esok ada meeting. Aduh, belum lagi aku buat gerak kerja ni. Apa yang nak aku laporkan nanti ya.. Bolehkah ya kalau aku tak hadir meeting?"

"Maf .. Rasanya tak bolehlah ikut. Keluarga tak bagi."

"Banyaknya amanah yang diberikan pimpinan."

Itulah selalunya rungutan, keluhan dan juga alasan yang bukan sahaja aku sendiri yang alaminya bahkan juga orang lain. Manusia .. Tidak lari daripada rungutan dan sifat beralasan. Bahkan terlalu banyak alasan yang kita sendiri cipta apabila di hati kita tergerak untuk melakukan kebaikan. Hasilnya, akibat daripada hasutan dan bisikan syaitan, secara tidak langsung, niat di hati yang ingin melakukan kebaikan seakan-akan mati hanya kerana alasan yang berlegar dalam fikiran ini. Memang fitrah manusia yang digelar al-insan, sifatnya lemah dan sentiasa inginkan keselesaan. Itu adalah fitrah yang Allah ciptakan. Namun begitu, sampai bilakah kita hendak sentiasa berada dalam zon keselesaan? Aku masih lagi ingat kata-kata yang abi beri semasa dalam usrah haraki yang pernah aku ikuti dulu:

" Jalan dakwah adalah satu jalan yang penuh dengan onak dan duri. Penuh dengan cabaran dan dugaan. Tiada satu pun jalan dakwah yang dihamparkan tikar merah di hadapan kita. "

Apabila ku amati kembali, aku akui. Memang jalan dakwah ini amat mencabar. Apalagi dengan iman yang turun naik ini, selalu diri ini tewas dengan mujahadah. Jika dilihat, apalah sangat pengorbanan yang kita lakukan ini jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang para anbiya dan para sahabat lakukan ketika dahulu. Jauh, terlalu jauh bezanya. Nabi junjungan kita dahulu pun berkorban bukan hanya dengan harta, pangkat, dan masa bahkan juga nyawa. Menyerahkan sebulat-bulatnya tekad kerana Allah. Bukan senang melakukan pengorbanan sebegitu. Hanya orang-orang yang mempunyai keimanan dan ketakwaan yang tinggi sahaja mampu melakukannya. Jalan dakwah nabi dan para sahabat pun bukannya jalan yang penuh dengan hamparan tikar merah di hadapan tetapi penuh dengan calaran, onak dan juga duri. Bahkan jalan yang diambil adalah jalan untuk menuju syahid!

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(At-Taubah :24)

Duhai hati, janganlah dikau terlalu berkira!! Duhai hati, janganlah dikau terlalu berkira!! Terlalu berkira di jalan dakwah!! Terlalu inginkan keselesaan !! Sehinggakan terlupa akan pengorbanan!! Ingatlah duhai hati, segala jerit payah yang dilalui adalah satu tarbiah!! Jangan terlalu banyak mengeluh!! Ingatlah, layakkah dikau duhai diri menginginkan syurga jika masih lagi berkira-kira nak berjuang di jalan-Nya? Layakkah dikau duhai diri hendak ditemani dengan bidadari dan juga bidadara jika masih lagi mencipta pelbagai alasan ketika seruan dakwah memanggilmu? Ingatlah, Allah itu Maha Adil. Pengorbanan yang kita lakukan pasti akan mendapat ganjarannya sesuai dengan apa yang kita niatkan. Walaupun jalan dakwah itu penuh dengan mehna dan tribulasi tetapi dalam kesakitan ada ubatnya, dalam keperitan ada kemanisannya, dalam kesusahan ada kegembiraannya.

Teringat aku akan kata-kata sahabatku yang kini berada di Kelantan, " Usah dikau berkata akan kemenangan jika engkau tak sanggup untuk berkorban." Nak buat kerja Islam, kena sanggup berkorban masa, tenaga, harta bahkan juga nyawa. Nak buat kerja Islam, kena tahan hati dan jiwa dan tak sesekali harapkan pujian datang tanpa menerima celaan dan kritikan. Pengorbanan itu adalah penting. Mengimbau kembali kenangan semasa berusrah dahulu. " Dalam sehari, berapa banyak masa yang kita luangkan untuk membuat gerak kerja Islam? Dalam sehari, sebelum tidur, sentiasalah bermuhasabah, renungkan adakah kita menyumbang dalam gerak kerja Islam? " Siapalah kita ini untuk berkira. Kita tidak layak!! Kita ini hanyalah manusia yang penuh dengan kelemahan, hanya diciptakan daripada setitis air mani. Tidak layak untuk kita berkira-kira dalam melakukan gerak kerja Islam ini.

Jika difikirkan kembali, betapa pemurahnya Allah kepada hamba-Nya. Masih lagi dipanjangkan umur untuk melihat dunia ini, menghirup udara yang segar serta masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk bercereka dan membina kerjaya di alam yang fana ini. Bayangkan teman, betapa pengasih dan pemurahnya Allah seperti yang disebutkan dalam Quran dengan sifat-Nya Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Tidak sedikit pun, Allah berkira dengan hamba-Nya. Kalau Allah berkira, setiap udara yang kita sedut akan dicas. Setiap nikmat yang kita kecapi akan dirtarik kembali tika kita alpa da lalai. Tetapi Allah masih lagi sayangkan kita. Tika hamba-Nya alpa dan lupa menyembah-Nya, masih lagi Allah menolong hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Aduh, sayangnya Allah padaku tapi masih lagi aku berkira untuk menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang dai'e..

Ingatlah duhai diri, peganglah surah At-Taubah : 24 ini. Allah telah berfirman dalam Al-Quran. Allah akan mengazab kita dengan azab yang pedih jika kita lebih mencintai dunia dan segala isinya melebihi kecintaan terhadap Allah dan rasul-Nya serta jika kita tidak menyahut segera seruan jihad yang dikibarkan kepada kita. Jika kita mengaku mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya, tak akan sesekali kita bertangguh untuk berjihad di jalan-Nya. Cinta.. bukan sekadar terlakar di bibir tetapi kena buktikannya dengan perbuatan!! Buktikanlah duhai diri sejauh mana kecintaanmu terhadap Allah dan Rasul-Nya. Jangan hanya pandai beretorik semata-mata duhai diri tanpa merealisasikan apa yang dikatakan. Peganglah tanggungjawab dan segala amanah yang pimpinan berikan. Ingatlah, sesungguhnya Allah yang lantik kita dalam memegang amanah itu, maka laksanakanlah amanah itu dengan bersungguh-sungguh dan buatlah sehabis baik. Ya Allah, elakkanlah diri ini daripada sesekali memilih tugasan dalam melakukan gerak kerja Islam.. memang berat tanggungjawab yang digalas namun siapa lagi yang hendak memikul tanggungjawab sebagai seorang dai'e kalau bukan kita?? Siapa lagi duhai sahabat??

Al-Hasan telah berkata: “Allah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung lalu Allah berfirman; “Jika engkau laksanakan dengan baik (amanah) maka bagi engkau pahala, sebaliknya jika tidak bagi engkau seksaan.” Lalu mereka berkata; “Kami tidak sanggup!” Mujahid berkata; “Ketika Allah menciptakan Adam, ditawarkan amanah itu kepadanya. Penawaran kepada langit, bumi dan gunung-ganang adalah berupa pilihan bukan ketetapan. Sedangkan penawaran kepada Adam adalah ketetapan.” Al-Qoffal dan lainnya berkata: “Penawaran di dalam ayat tersebut adalah suatu yang indah di mana langit, bumi, gunung sekalipun besar masih tidak sanggup menerima amanah sebaliknya manusia sanggup memikulnya.

Kapada yang mempunyai masalah keluarga pula, peganglah dengan pegangan yang mantap surah At-Taubah ayat 24 tadi. Ingatlah, segala yang kita ada di dunia ini hanyalah pinjaman, tidak bersifat kekal. Bila-bila dalam sekelip mata boleh hilang jika Allah kehendakkan. Hanya dengan kuasa Allah sahaja kita diberikan nikmat tersebut. Jadi, kepada Allahlah kita memohon dan merujuk. Tugasan dakwah wajib kita galas!! Jangan jadikan kekangan ibu bapa dan juga keluarga sebagai satu jalan untuk kita bergerak perlahan dalam gerak kerja Islam ini. Dalam masa yang sama, doa hendaklah sentiasa dipohon agar Allah melembutkan hati-hati mereka serta sentiasa berusaha menerapkan pemahaman Islam kepada mereka. Ingatlah, hanya Allah yang mampu membolak balikkan hati hamba-Nya. Pegang ayat tersebut duhai sahabat..

Duhai diri, layakkah untuk dikau berehat walhal maksiat semakin berleluasa? Layakkah dikau berehat tika masyarakat masih lagi dalam keadaan yang jahil? Layakkah dikau berehat tika sahabat seperjuanganmu di Palestin berhempas pulas memperjuangkan nyawa demi mempertahankan akidah mereka daripada dicalar oleh regim zionis? Layakkah dikau berehat? Aduh, banyak tugasan dan amanah yang menantimu. Usah kau gusar dengan dirimu. Kepenatan itu akan Allah balas jika kau ikhlas!!

Semoga dengan tulisan ini, dapatlah aku menaikkan semangat dan roh bergerak kerja. Kepada sahabatku yang membaca artikel ini, diharap dikau pun bersemangat dalam bergerak kerja. Ambillah yang baik dan tegurlah yang silap kerana aku akui, aku juga seperti kamu yang lain, insan yang lemah. Banyak lagi yang aku perlu dipelajari dalam menempuh jalan dakwah ini. Semoga Allah terus memberikan taufik dan hidayah-Nya untuk kita terus berada dalam saf perjuangan ini. Moga kita tergolong dalam golongan yang 'Muttaqin'. Teman, andaikata coretanku ini mengguris perasaanmu, maafkan aku teman. Bersama-samalah kita memperbaiki diri kerana tidak ada manusia yang sempurna.

Ku mohon pada-Mu ya Allah, ikhlaskanlah hati kami dalam berjuang di jalan-Mu. Semoga kami istiqamah dalam jalan-Mu ini. Amin..

No comments:

Post a Comment