Sekapur sirih

Assalamualaikum buat semua pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi melayari blog ini. Semoga kalian mendapat info-info baru dan bermanfaat untuk diketahui dan diamalkan insya allah.

18 August 2010

Ramadhan Al- Mubarak

Salam Ramadhan....

Segala pujian selayaknya buat Allah SWT yang mentadbir seluruh alam ini dan segala isinya untuk manusia selalu berfikir. Selawat dan salam kesejahteraan untuk manusia agung yang berbudi Nabi Muhammad SAW dan ahlul- bait, para sahabat, para syuhada, para tabi' dan tabien serta seluruh pendokong- pendokong risalah ALLAH yang meneruskan perjuangan daripada mereka yang terdahulu...

Semoga Ramadhan ini terbaik untuk kita semua. Dalam menghadapi dan menjalani Ramadhan yang penuh keberkatan dan kebahagian ini pastinya ada ujian yang mengiringi setiap insan. Ujian- ujian ini tidak hadir sia- sia tetapi sebagai jalan- jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dengan ujian yang mendatang, manusia akan selalu meminta dan mengadu kepadaNYA.

Rasanya masih tidak terlewat untuk mengimbas kembali tragedi banjir besar yang melanda Kampung Pasir Putih, Tawau baru- baru ini yang meranapkan harta benda dan kediaman penduduk. Nisa' Kawasan Tawau turut merakamkan takziah atas kejadian yang menimpa kepada mangsa. Meski tidak berada di tempat kejadian, gambar- gambar yang dipaparkan sudah cukup menginsafkan dan meruntun naluri namun, 'berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul". Sungguh, Allah mampu melenyapkan semua harta benda kita dalam sekelip mata. Ibrahnya bahawa, harta benda dan kediaman yang kita miliki pada hari ini tidak selamanya milik kita. Allah berhak menghilangkannya dalam sekelip mata sahaja. Bagi yang menyakini qada dan qadar-NYA, sudah pasti setiap yang berlaku ini dipandang dengan mata hati tanpa sekelumit pun dalam hati menyesali ketentuan Ilahi.

Pada bulan Ramadhan ini juga, letakkan ingatan dan doa' kita buat seluruh saudara kita yang berada di Palestin dan yang paling hampir di Pattani serta di seluruh negara yang umat Islamnya masih terus berjuang dan mempertahankan agama Allah. Sesungguhnya doa' kita dalam bulan penuh barakah ini diterima oleh Allah apabila kita bersungguh- sungguh meminta disertai dengan amalan soleh yang berganda.

Latihan berpuasa yang kita lalui pada setiap bulan Ramadhan ini janganlah sekadar kebiasaan kita pada setiap tahun yang kemudiannya diraikan dengan Syawal yang ditunggu- tunggu. Syawal merupakan hadiah Allah tetapi Ramadhan perlu kita jadikan sebagai hadiah yang terbaik buat kita dalam memperbaiki amalan sepanjang kehidupan. Kesempatan bertarawih, bertadarus dan bersedekah ini biarlah menjadi suatu pemangkin kepada cara hidup yang lebih baik. Mengambil pengisian daripada salah seorang ustaz agar kita tetap menjadi hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada Ramadhan.

Akhir bicara, moga Ramadhan kita terisi dengan kebaikan yang banyak dan bertambah- tambah. Sama-samalah kita berdoa' kepada ALLAH agar kita dipanjangkan umur untuk hidup di dalam bulan Ramadhan serta diberikan hidayah dan taufiq serta kekuatan agar dapat mengambil manfaat daripada kebaikan- kebaikan yang telah ALLAH sediakan di dalamnya.

Semoga kita beroleh Taqwa.

Wassalam...

8 Ramadhan 1431