Ya Allah, berat sungguh ku rasakan kepalaku ini. Sakit..Sejak daripada petang tadi hinggalah ke malam hari. Namun ku gagahkan juga diriku demi menggalas amanah yang telah diberikan oleh pimpinan untuk mengedit blog Nisa' yang sudah lama ku rasakan tidak ter'update' dengan entry baru. Entah mengapa, lama pula ku rasakan sakit kepala ini. Setiap hari, kita mempunyai lakaran peristiwa yang berlainan. Lakaran peristiwa itulah yang akan mewarnai hidup kita. Dalam lakaran tersebut, kita hanya ada dua pilihan sahaja dalam hidup kita - dosa ataupun pahala. Itu sahaja pilihan dalam hidup kita. Tidak akan kita berada dalam situasi di tengah-tengah antara dosa dan juga pahala.
Hidup..Akan menjadi lebih bermakna jika kita sebagai hamba Allah mengenali dan menghayati hakikat hidup ini. Sejauh mana kebijaksanaan, harta dan juga pangkat tidak akan sama sekali memberikan manfaat kepada kita jika kita berpaling daripada jalan yang diredai-NYA. Erti hidup lebih kepada memberi. Memberi ruang dan peluang kepada diri kita yang mempunyai fitrah kepada beragama untuk mengenal Khaliq, pencipta-Nya. Selalu aku bertanya kepa diriku ini, adakah sudah cukup sikap memberi yang ada padaku ini? Adakah sudah banyak pengorbanan yang aku berikan untuk melaksanakan gerak kerja amal islami? Adakah aku sanggup korbankan masaku untuk gerak kerja Islam di kala kesibukanku dengan urusan duniawi yang tidak akan putus-putus ini ? Adakah aku sanggup memberikan pengorbanan yang cukup untuk memberikan sumbangan dari segi tenaga, wang ringgit mahupun buah fikiran demi kelancaran gerak kerja Islam ini? Ya Allah, ku rasakan semakin aku fikir, semakin aku dapati banyak lagi tuntutan dan amanah yang belum dapat ku laksanakan dengan sebaiknya.
Amanah..perkataan yang cukup ringkas tetapi amat berat untuk dirungkaikan dan dilaksanakan. Sangat berat. Amanah .. perkara yang paling susah untuk kita laksanakan. Amanah bukan hanya setakat nama yang tertulis hanya di atas kertas. Amanah bukan hanya dilantik daripada pimpinan sahaja tetapi ingatlah bahawa amanah juga merupakan lantikan daripada Allah kepada kita secara langsung sama ada kita berada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Tidak akan mungkin berlaku jika tidak kerana Allah.. Apabila Allah mengkehendaki sesuatu perkara maka akan terjadilah perkara tersebut. Melalui pemerhatianku, tidak ramai yang berani menyahut amanah yang diberikan daripada Allah melalui asbab pimpinan atau yang bergelar al-insan ini. Ramai yang takut mengambil ruang dan peluang untuk memikul amanah yang diberikan. Mungkin kerana merasakan kebimbangan kerana risau tidak dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik. Sudah tentu, jika kita leka dalam menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaiknya, Allah akan memberikan balasan-Nya kepada kita.
Secara peribadi, itulah salah satu andaian dan taksiranku. Namun begitu, sebagai seorang insan yang hidup di dunia ini, kita tidak akan terlepas daripada menerima amanah dan tanggungjawab. Setiapa orang yang bergelar manusia atau dalam bahasa Arabnya Al-Insan tergalas di pundak tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dan ditunaikan. Sedar atau tidak kita mempunyai amanah terhadap Allah Rabbul Jalil kita. Ya, amanah daripada seorang pencipta kepada hambanya. Adakah selama ini kita sudah tunaikan amanah sebagai seorang hamba Allah? Bagaimanakah penunaian ibadah kita terhadap Allah? Banyak amanah tersebut dan salah satunya ialah solat. Itulah ibadah asas yang WAJIB dilaksanakan oleh setiap lapisan manusia tanpa mengira warna kulit dan juga bangsa. Bab solat ini pun banyak lagi yang tak sempurna. Apatah lagi berkaitan dengan khusyuk ini. Sekarang ni, pergi saja solat di masjid, mulalah pelbagai jenis ragam dan telatah masyarakat apabila melihat mereka solat. Macam-macam perkara. Yang menghairankan, perkara yang dilakukan langsung tiada tercatat dalam hadis ataupun al-quran.
Itu baru bercerita satu topik mengenai solat. Banyak lagi ibadah-ibadah lain yang merupakan amanah yang belum lagi kita tunaikan. beralih pula kepada amanah dengan manusia ataupun sesama makhluk. Inipun kita tak mampu melaksanakannnya dengan baik juga. Selalunya, amanah yang diberikan kepada kita kerana rasa kepercayaan yang tinggi diberikan oleh seseorang. Akibat daripada kebolehpercayaan yang tinggi maka, kita diberikan satu amanah untuk digalas tidak kiralah sama ada dalam alam pekerjaan, alam pembelajaran mahupun dalam konteks kita sebagai seorang anak dan juga ibu bapa. Daripada rasa kebolehpercayaan tersebutlah maka kita diyakini dapat memberikan tugasan yang terbaik. Contoh analoginya ialah dalam satu kelas, pasti akan beelaku pemilihan seorang ketua kelas yang akan menjadi amir dalam memimpin anak-anak buahnya dalam kelas tersebut. Amir itulah yang akan bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk memberikan arahan terhadap anak buahnya yang lain. Itulah amanah-amanah yang perlu kita galas selagi roh dan jasad masih lagi bersatu.
Jika menyingkap sejarah lalu, perjuangan nabi-nabi dan para sahabat terdahulu, jauh sekali pengorbanan dan erti memberi kita. Para sahabat sanggup mengorbankan harta, tenaga, pangkat dan juga jiwa raga demi mempertahankan kedaulatan Islam di muka bumi. Masya allah.. Jauh sekali dengan situasi yang kita hadapi sekarang ini. Kita sepatutnya bersyukur kerana berada dalam keadaan negara yang aman daripada peperangan. Tidak seperti yang berlaku di Palestin bumi anbiya. Penuh dengan perang dan pergolakan sejak ratusan tahun terdahulu. Sepatutnya, dalam situasi keamanan ini, kita mestilah menggunakan segala ruang dan kesempatan yang ada untuk bersungguh-sungguh melaksanakan gerak kerja Islam. Amanah yang tergalas di kedua pundak. Tetapi kita pula sebaliknya. Kita malah berasa seolah-olah dihamparkan karpet merah sehinggakan telah lupa, alpa dengan tanggungjawab amanah hakiki kita iaitu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Malah, amat menyedihkan apabila amanah yang dipertannggungjawabkan itu hanyalah seolah-olah hanya pada atas kertas sahaja!
Hal ini banyak berlaku dalam kehidupan seharian. Memang amat senang jika kita hanya meletakkan nama kita atas sesuatu tugasan. Tetapi, apalah gunanya jika amanah tersebut tidak dilaksanakan. hanya bersifat sebagai memenuhi syarat dan kuota sahaja. Tiada gunanya jika amanah tersebut tidak dilaksanakan. Kebanyakan daripda kita menganggap amanah itu perkara yang enteng. Buktinya amat jelas. Terang lagi bersuluh. Contohnya, kita tidak bersungguh-sungguh dalam menyahut seruan dakwah yang memanggil. Bersikap semberono dalam melaksanakan gerak kerja amal islami. Abi dan umi pernah memberikan pesanan terhadapku. Aku masih lagi mengingati pesanan mereka. Seperti biasa, otakku ligat kembali mengingat pesanan tersebut. Mereka berpesan bahawa kerja islam ini bukanlah kerja sembarangan iaitu kita hanya asal buat sahaja tetapi apabila menyebut mengenai gerak kerja kita kenalah buat sehabis baik. Kalau perkara lain kita boleh buat yang terbaik, mengapa pula gerak kerja Islam kita tidak boleh menunjukkan 'performance' yang terbaik?
Berapa lama kita mesti berada dalam zon selesa? Kita hendaklah bangkit daripada zon keselesaan tersebut dan menyahut seruan jihad. Lumrah sunnah orang berjuang, pasti kita akan disajikan dengan ujian dan tribulasi untuk menguji sejauh mana keimanan dan ketakwaan terhadap-Nya. Dibandingkan dengan ujian para nabi dan sahabat, sahabat seperjuangan di Palestin, kita di bumi Malaysia ini amat jauh sekali. Hanya takwa bekalan yang akan kita bawa nanti. Kita ni acapkali tewas dengan pergolakan nafsu dan juga diri sendiri. Aku masih lagi ingat seorang sahabat memberikan kata-kata nasihat sewaktu berada di SMK Umas-Umas. Dalam diri kita ini, terdapat dua raja. Satu ialah nafsu dan juga iman. Perlu diketahui bahawa nafsu ini terbahagi kepada nafsu baik dan juga jahat tetapi kita selaku al-insan selalu kalah dengan hawa nafsu yang jahat. Kita tewas dalam pergolakan diri sendiri.
Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.
(Al-Imran :183)
Setakat itu sahajalah coretan untuk kali ini. Moga-moga ada beroleh manfaat sahabat sekalian. Pesanan ini juga khusus buat diriku ini kerana dalam surah As-saff, Allah telah berfirman bahawa Allah sangat tidak suka dengan manusia yang hanya pandai berkata-kata dan beretorik sahaja tetapi tidak melakukannya. Aku juga sama seperti kalian. Masih lagi dalam proses pembelajaran. Masih inginkan teguran, nasihat dan juga kritikan bagi menambahbaikkan mutu gerak kerja Islam. Andai aku ada silap dan salah, tegurlah daku. Bersamalah kita memperbaiki mutu gerak kerja Islam. Wahai teman, tunaikanlah amanah yang telah diamanahkan dengan sebaik-baiknya..
No comments:
Post a Comment