Sekapur sirih

Assalamualaikum buat semua pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi melayari blog ini. Semoga kalian mendapat info-info baru dan bermanfaat untuk diketahui dan diamalkan insya allah.

07 June 2011

Tinta Coretan Kem Remaja Islam (KRIS)

Alhamdulillah, aku masih lagi diberikan kudrat dan tenaga (kekuatan)untuk menulis lagi. Emm, rasanya, dalam beberapa minggu ini , blog tidak ter'update'. Apa tidaknya, maklumlah, masa tersebut sibuk dengan program KRIS atau lebih dikenali dengan nama KEM REMAJA ISLAM dan juga sibuk dengan program dan komitmen lain. Insya allah hari ini aku akan kongsikan segala pengalaman, jerit dan payah sepanjang kursus tersebut berlangsung.

KRIS merupakan program yang setiap tahun dijalankan oleh Persatuan Siswazah Sabah. Petugas-petugas, Ajk pelaksana dan juga fasilitator yang mengendalikan program tersebut ialah terdiri daripada mahasiswa/i kampus, IPTA/IPTS, maktab, politeknik, matrikulasi, lepasan SPM/STPM, Unit Amal, Nisa' dan juga PERPPIS Bahagian Tawau. Program ini berlangsung selama 4 hari 3 malam tetapi seperti biasa sebagai penganjur, kami selaku Ajk pelaksana datang sehari lebih awal. Sedar tidak sedar program tersebut telah dijalankan selama 6 tahun dan pada tahun ini KRIS sekali lagi memilih Smk Balung sebagai tapak lokasi program.

Persiapan sebelum program berlangsung memang tidak dapat dinafikan, sungguh sibuk. Setiap Ajk sibuk mengurus unit masing-masing. Begitulah keadaannya kerana setiap orang inginkan yang terbaik semasa program tersebut berjalan. Ingat lagi kata-kata yang dilontarkan oleh abi selaku murabbiku dalam Persatuan Putera Puteri Islam (PERPPIS) Bahagian Tawau.
"Kita ni kalau nak buat kerja Islam, pastikan buat yang terbaik. Jangan buat semberono atau cincai-cincai. Pastikan gerak kerja yang kita lakukan itu bermutu dan berkualiti. Kalau benda-benda yang kurang penting, kita boleh pula buat yang terbaik tetapi apabila masuk dalam gerak kerja dakwah, mengapa pula kita tidak boleh berikan yang lebih terbaik??" Kata-kata itu secara tidak langsung, menyengatku. Tertamparlah juga aku mendengar kata-kata tersebut.

Ternyata jauh juga perjalanan ke Smk Balung. Ini kiranya perjalanan kali kedua aku ke sana. Teringat lagi sewaktu kali pertama aku di sana, itulah program kali kedua yang aku ikuti selepas daripada Program Nisa'. Di sinilah aku banyak belajar perkara yang baru. Seperti biasa, semua Ajk pelaksana akan bermalam sehari lebih awal untuk melancarkan lagi segala gerak kerja. Emm, memang penat. Namun begitu, dalam kepenatan, amanah dan tanggungjawab yang diberikan tetap akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Pada kali ini, aku lihat ramai mahasiswa/i daripada pelbagai lapisan umur dan juga jurusan. Ada dalamkalangan mereka yang merupakan mahasiswa/i kampus, politeknik, maktab, kolej, matrikulasi, lepasan, nisa', unit amal dan tidak lupa juga kepada PERPPIS Bahagian Tawau. Sesi perjumpaan diadakan pada malam tersebut. Dalam perjumpaan tersebut, sesi taaruf diadakan dan kemudian sesi taklimat daripada unit masing-masing dan juga ucapan daripada Pengarah Kris Ke-6 iaitu saudara Sabahrullah Ishak dan juga Penasihat Kris iaitu Cikgu Burhanuddin Sirajuddin.

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. 04 Jun 2011, tarikh yang amat mendebarkan. Setiap Ajk pelaksana menunggu ketibaan peserta dengan penuh perasaan debaran. Pelbagai jenis persoalan yang terlontar di kepala ini namun persoalan-persoalan yang menerjah di benak fikiran ini tidak mampu dilontarkan oleh kata-kata. Jiwa penuh debaran sekali. Setiap unit sekali lagi memainkan peranan masing-masing. Jam menunjukkan pukul 08.00 pagi. Kelihatannya terdapat beberapa peserta yang telah sampai awal ke tapak program. Sejam berlalu namun masih lagi belum kelihatan bas yang membawa peserta. Teringat aku akan kata-kata pengarah," Setiap Ajk dikehendaki menyambut peserta dengan senyuman yang paling manis. Jangan ada yang bermasam muka. Ingat, peserta yang mengikuti Kris ini telah bayar RM 15 kepada kita jadi, kita selaku penganjur ni hendaklah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap peserta. Andaikata peserta yang mengikuti ini tidak seramai seperti Kris-Kris yang terdahulu, terimalah dengan reda. Walaupun hanya berpuluh yang datang, terimalah dengan reda."

Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Akhirnya persoalan yang bermain di benak fikiranku akhirnya terungkai juga. Bas yang membawa peserta telah datang. Alhamdulillah, hatiku melonjak kegembiraan apabila mendapati 3 bas penuh dengan muatan peserta. Syukur pada-Mu ya Allah, ramai juga peserta yang menghadiri Kris pada kali ini. Sesi pendaftaran pun bermula. Setelah dikumpul, seramai dalam 200 orang peserta Kris yang mengikuti program ini. Kebanyakannya mereka pertama kali menghadiri program Kris ini dan tinjauan kasar yang ku lakukan, ramai penglibatan daripada adik-adik Smk Umas-Umas. Syabas dan tahniah dik kerana menghadiri program di Smk Balung ini. Peserta seperti biasa dibahagikan kepada kumpulan dan fasilitator masing-masing. Setelah itu, nyanyian lagu tema dikumandangkan.. Lagu Malaysia Memanggil diperdengarkan kepada para peseta. Itulah lagu tema Kris pada kali ini. Lagu yang meniupkan semangat kepada kami semua.

Sepanjang 4 hari 3 malam Kris diadakan, aktiviti sepanjang program cukup padat. Diisi dengan pengisian kuliah dasar yang mantap oleh penceramah yang mentap-mantap belaka. Ternyata bukan sahaja para peserta yang mendapat input-input baru tetapi Ajk pelaksana juga mendapat perkara yang sama. Selain daripada kuliah dasar, para peserta juga rancak mengikuti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Setiap kali selepas kuliah dasar dijalankan, LDK akan dimulakan. Ternyata, untuk LDK pada kali ini, para peserta memberikan respon keterlibatan yang menggalakkan. Masing-masing bekerjasama dalam kumpulan. Secara tidak langsung, melalui LDK yang dijalankan, bakat-bakat terpendam juga berjaya dicungkil. Ternyata ramai juga yang mempunyai potensi yang besar. Cuma perlukan lagi gilapan agar potensi itu terus dan terus digilap. Pada mulanya, ramai yang berasa malu apabila disuruh ke hadapan memberikan pandangan tetapi alhamdulillah sifat malu yang tidak bertempat itu dapat dikikis sedikit demi sedikit sepanjang program Kris ini.

Sedar tidak sedar 4 hari telah pun berlalu. Aduh, cepat sungguh masa berjalan . Rasanya seperti baru semalam kami berada di sana. Kali ini, ku rasakan terdapat pembaharuan yang dibuat semasa majlis penutupan berlangsung. Setiap Ajk pelaksana dan juga fasilitator masing-masing (mentee) dikehendaki menyampaikan sesuatu kepada mentee yakni merangkap sebagai adik angkat. Sungguh menarik pada kali ini. Seakan-akan program mentor-mentee tetapi program ini program yang islamik dan tidak seperti Mentor yang disiarkan di Tv 3. Tujuan program mentor-mentee ini diadakan ialah bertujuan untuk mengikat lagi tali ukhuwah adik-adik peserta dan seterusnya menjadikan adik-adik tersebut pelapis di jalan dakwah ini sebagai penerus mata rantai perjuangan. Hari terakhir..seperti tidak disangka.. Terlalu banyak kenangan dan pengalaman yang sukar untu ku ceritakan dan dirungkaikan dalam blog ini. Kenangan suka duka dan pahit manis sepanjang mengikuti Kris pada kali ini. Aduh, rindu rasanya aku dengan suasana seperti itu. Memang benar, apabila kita melakukan program Islam, pasti akan ada keberkatannya.

Akhir sekali adalah sesi lambaian ukhuwah. Hatiku menjadi semakin sayu dan pilu untuk berpisah dengan mereka semua. Sungguh rasanya aku tidak mahu kenangan itu berhenti di situ. Ramai adik-adik yang menangis kesedihan kerana pilu hati untuk meninggalkan program itu. Aku yakin dan pasti, mereka juga berasa seronok dengan program ini. Ternyata, dapat ku lihat ukhuwah yang erat antara mentor dan juga mentee, fasilitator dan juga ahli kumpulan serta dengan Ajk pelaksana yang lain. Suasana pada ketika itu sangat sedih. Pasti sesiapa yang melihatnya akan tersentuh hati ini. Hatiku bertambah runtun apabila tiba giliranku bersalaman dengan adik-adik 'mentee' ku. Mengalir juga air mata ini . Pertama kali rasanya aku melihat adikku menangis. Adik yang amat ku kasihi. Luntur juga tembok keegoannya itu. Syukur alhamdulillah, aku dapat meluahkan segala rasa yang terbuku di hati ini kepadanya. Walaupun lidahnya keluh 1001 bahasa dan hanya air mata serta tangisan yang kedengaran di mulutnya, namun aku yakin dia tetap mendengarnya. Pada waktu dan detik itu.. Kepiluan menjalari hati kami. Aku bersyukur adikku itu mengikuti program ini. Semoga adikku dapat pelbaga input daripada program ini. Insya allah, aku yakin dan pasti dengan adikku ini.

Sekian sahaja coretanku pada kali ini. Insya allah kita akan bertemu lagi pada coretan seterusnya. Bagiku, rugi rasanya sesiapa yang tidak menghadiri program Kris ini. Terlalu banyak pengalaman, ilmu dan juga kenangan yang amat sukar untuk dilupakan. Syukur alhamdulillah semua yang menghadiri program tersebut adalah orang-orang yang Allah pilih. Syukur alhamdulillah program tersebut juga berjalan dengan lancar. Kepada para peserta yang mengikuti program tersebut, nantikan program susulan Kris. Semoga segala input yang diperoleh diamalkan bukan hanya sekadar semasa program itu berlangsung tetapi secara berterusan (istiqamah). Syabas dan tahniah juga kepada semua Ajk pelaksana sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan program Kris pada kali ini. Sungguh, hanya Allah yang layak membalas-Nya. Kepada adik-adik mentee yang ku sayangi, teruskan mengikuti program-program Islam adikku.

Sepanjang program Kris berlangsung sehinggalah coretan ini ditulis, 10 jari mohon maaf jika terdapat silap dan salah sama ada sepanjang bergerak kerja dengan kamu semua. Begitu juga kepada adik-adik peserta yang mengikuti Kris. Akhir kalam, kamu semua TERBAIK!!



No comments:

Post a Comment