Assalamualaikum buat semua sahabat sekalian. Sedar tak sedar, hari ini merupakan 16 Mei. Hari yang melakar 1001 pengertian buat warga yang bergelar pendidik. Di kala aku tengah sibuk meng 'update' blog, aku terlupa untuk mengucapkan kata-kata ucapan kepada seseorang yang amat aku hormati. Seorang guru yang amat tegas dan penuh berdisiplin dalam mengajar. Seorang murabbi dan juga seorang abi kepada sepuluh orang anak. Syukur juga, Allah masih lagi sempat mengingatkanku untuk menghantar kata-kata ucapan itu. Pukul menunjukkan 01.30 petang, aku pun menghatar mesej yang berbunyi:
" Salam. Abi, Selamat Hari Guru diucapkan. Terima kasih kerana memberikan tunjuk ajar dalam PERPPIS dan juga jamaah. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Maaf jika ada silap dan salah selama ini. Daripada anak didikmu."
Aduh, maaf abi kerana lewat menghantar ucapan. mungkin akulah antara yang terlewat memberikan ucapan tersebut.
Abi..Itulah panggilan yang aku selesa panggil kerana aku merupakan anak didiknya. Kebanyakan sahabat-sahabatku lebih senang memanggilnya dengan gelaran cikgu malah ada juga yang memanggilnya sebagai ustaz. Apa pun gelarannya, ia tidak kisah. Jika dilihat pada mata kasar, dia merupakan seorang guru yang mempunyai kerjaya sama seperti guru-guru yang lain. Tetapi jauh di sudut yang lain, dia bukan hanya seorang guru semata-mata tetapi seorang guru yang berjiwa Murabbi. Kalau sekadar menjadi seorang guru, sekadar mengajar anak murid sahaja, mungkin semua orang boleh melakukannya tetapi tidak semua yang boleh benar-benar mendidik dan membentuk pelajarnya menjadi insan yang cemerlang di dunia serta akhirat. Tidak semua duhai sahabat.
Teringat kenangan dahulu, semasa aku mengikuti satu gerakan pelajar yang dinamakan Persatuan Putera Puteri Islam (PERPPIS) Bahagian Tawau. Di sinilah aku belajar bertatih dalam tanzim. Mengenal apa itu tanzim (organisasi) dan struktur pelaksanaannya. Di sinilah aku belajar bagaimana cara untuk menguruskan sesuatu program serta mengenal apa itu usrah. Bermulanya tarbiah aku di sini. Di wadah landasan ini. Aku yang dahulunya berada dalam keadaan jahiliyyah mula mengenal tarbiah melalui usrah yang abi berikan. Syukur alhamdulillah, setelah beberapa tahun berada dalam saf kepimpinan PERPPIS, semakin banyak ilmu yang aku dapati. Sungguh, kenangan semasa dalam PERPPIS tidak akan ku lupakan. Teringat aku kata-kata abi..
" Tak ada manusia yang sempurna. Walaupun berada dalam saf perjuangan, masing-masing mempunyai kelebihan dan juga kelemahan masing-masing. Cuma, dalam jamaah hendaklah saling bahu membahu untuk membantu satu sama lain. Barulah kita akan kuat. Setahun kamu dalam PERPPIS, kamu akan melihat secara kasar mengenai persatuan ini. Tahun kedua kamu berada dalam PERPPIS, kamu akan cuba untuk belajar dan menyelami tanzim dan tahun ketiga kamu berada dalam PERPPIS, kamu akan mula untuk memahami tanzim dengan lebih mendalam dan cuba untuk meningkatkan tanzim. "
Satu lagi perkara yang menjadi landasan hidupnya ialah sentiasa berpegang pada prinsip dosa dan pahala. Abi selalu mengingatkan kami selaku anak didiknya supaya sentiasa memikirkan akan dosa dan pahala jika hendak melakukan sesuatu. Tika semua orang sedang enak diulit mimpi indah, abi menggagahkan diri ke pejabat melakukan gerak kerja Islam. Tabik dengan abi, ye lah, apa tidaknya, pagi sibuk mengajar, kadang sampai ke petang, setelah mengajar, selalunya balik ke rumah sekejap melihat anak-anak dan isteri tercintanya. Malam pula bersengkang mata ke pejabat untuk menginfakkan diri melakukan gerak kerja Islam. Jika diamati isi teks usrah yang disampaikan ketika dahulu, aku akui kata-katanya benar. Kita ini hanya bergelar hamba. Hamba kepada Allah. Semua yang ada adalah milik Allah. Semua nikmat yang kita kecapi hanyalah sementara sahaja. Semuanya Allah pinjamkan kepada kita termasuklah nyawa kita. Jadi, kita kenalah menggunakan segala nikmat yang ada dengan melakukan gerak kerja dakwah.
" Nak buat gerak kerja Islam, kena buat bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Apabila buat gerak kerja Islam, kenalah buat yang terbaik. Jangan buat semberono. " kata abiku. Tersentak juga kami apabila mendengarnya. Selagi kualiti tidak mengikut KPI yang telah ditetapkan, selagi itulah abi tetap menolak hasil tugasan yang telah kami lakukan. Aku masih lagi ingat tugasan meng ' edit ' buletin. Rasanya, percubaan demi percubaan yang telah aku lakukan untuk menghasilkan buletin tetapi setelah lebih daripada 5 kali percubaan akhirnya hasil karyaku diterima. Terasa penat dan membosankan juga aku akui tetapi demi gerak kerja dakwah, ku gagahinya juga. Itulah antara imbauan aku ketika berada dalam PERPPIS.
Sebenarnya, banyak lagi kenangan aku sepanjang berada dalam saf pimpinan PERPPIS ini. Suka duka pahit manis ku rasai di sini. Di sinilah wadah aku ditarbiah sebelum aku mengenal erti jamaah. Syukur alhamdulillah, abi banyak mengajar daku. Abi.. hanya seorang insan biasa yang mempunyai susuk tubuh yang tinggi dan kurus tetapi seorang guru yang berjiwa MURABBI. Banyak sudah anak didik yang telah berjaya dikaderkannya. Kini, ramai anak didiknya yang telah berjaya mendapat segulung ijazah . Seorang guru yang berjiwa MURABBI akan mendidik pelajarnya bukan sahaja untuk cemerlang di dunia semata-mata tetapi juga di akhirat kelak. Persiapan iman dan takwa adalah perlu untuk menuju alam yang kekal abadi. Bukan senang wahai sahabat tetapi tidak mustahil untuk kita melahirkan ramai guru yang mempunyai sifat seperti ini. Tidak ada yang mustahil jika keinginan tersebut di ikuti dengan kesungguhan yang jitu serta dipasakkan kerana-Nya.
Kepada sahabat seperjuangan yang bergelar guru, jadilah warga pendidik yang mempunyai jiwa seorang MURABBI/MURABBITUN. Didiklah anak muridmu bukan sahaja untuk mendalami subjek yang diajar bahkan jua didiklah mereka untuk mengenal Islam agar mereka suatu hari nanti yang akan menjadi perintis jalan dakwah. Kepada sahabat yang lain, perlu diingat, setiap orang berpeluang memiliki jiwa bersifat MURABBI/MURABBITUN, tidak hanya tertakhluk kepada guru sahaja. Tugas dan tanggungjawab sebagai seorang dai'e tetap tergalas di sanubari. Maka tunaikanlah tanggungjawab itu dengan sebaiknya. Renungkan bersama...
Semasa aku mengajar, aku dikejutkan dengan bunyi sms. Agaknya siapa ya.. Masya allah, tak sangka pula, aku tidak menyangkakan ucapan aku dibalas kembali pada pukul 08.25 malam semalam. Gembira seorang anak mendapat sms daripada abi. Emm, mesejnya panjang yang berbunyi ..
" Terima kasih atas ingatan. Moga anda lebih baik daripada Abi yang banyak kelemahan. Abi doakan moga kalian lebih gigih, tekun, rajin, proaktif, tawaduk, sabar, ikhlas, tidak berkarenah, tidak mengharapkan pujian, tidak terusik jiwa dengan celaan, tidak memilih tugasan serta mempunyai hubungan dengan Allah yang padu dalam menggalas perjuangan Islam. PAS FOR ALL ."
Aku mengaminkan setiap bait kata-katanya. Sungguh mendalam mesej tersebut. Ku amati mesej tersebut. Perasaan hiba datang menerpaku. Ya Allah, daku bersyukur kepada-Mu ya Allah kerana murabbiku selaku abi mendoakanku. Moga aku terus istiqamah dalam jalan dakwah ini ya Ilahi. Kuatkanlah daku untuk terus berada dalam landasan yang benar lagi diredai-Mu. Tiada hadiah yang dapat ku berikan kepada abi tetapi hanya kiriman doa buatnya. Hanya doa.. Doaku padanya semoga dipermudahkan segala urusannya di dunia dan akhirat. Semoga hidup dalam rumah tangga baitud dakwah yang disirami dengan air iman dan takwa. Semoga abi, umi dan adik-adik terus dan terus berjuang dalam landasan ini sehingga ke akhir nafas. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Terima kasih, abi.. Umi, bertuah sungguh umi mendapat pasangan seperti abi !!
Setibanya aku di rumah, adikku Fatini memberitahu bahawa abi sakit. Ya Allah, tak sangka aku. Pada Hari Guru ini, adikku memberitahu bahawa sudah tiga hari abi sakit tonsil dan juga demam panas sejak hari Ahad lagi sehinggalah Selasa ini. Bahkan katanya lagi, hampir satu keluarga sakit. Daripada Fatini hinggalah ke Afiqah. Dadaku semakin sebak. Kasihan umi, terpaksa merawat hampir kesemua ahli keluarga. Ya Allah, ku mohon kepada-Mu agar diberikan nikmat kesihatan kepada abi sekeluarga agar dapat menjalankan ibadah kepada-Mu. Perkenankanlah ya Allah. Kepada semua sahabat sekalian, mohon doanya sahabat ya.. Moga MURABBI aku ini sekali merangkap abi sentiasa dipermudahkan segala urusannya dan dikurniakan nikmat kesihatan agar dapat beribadah kepada-Nya.
Akhir kalam, kepada semua sahabat seperjuangan menjadi seorang insan yang berjiwa MURABBI memang susah tetapi bukanlah mustahil. Marilah bersama-sama kita ambil ibrah atas pengalaman yang saya kongsikan tadi. Jadilah insan yang boleh memberikan impak yang baik kepada insan lain. Tugas kita belum lagi selesai di sini. Masih jauh lagi perjalanan kita.
SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA..
Warkah buat abi..
Daripada anak didikmu..
Terima kasih abi kerana mendidikku.. Maafkan anakmu jika ada silap dan salah.. Selamat Hari Guru.
No comments:
Post a Comment