Sekapur sirih
31 May 2011
Amanah bukan sekadar retorik
24 May 2011
Terroris Israel Rancang Bom Masjid Agung Hasan Beik di Yafa
Isnin , 23/05/2011 - Sumber media Israel menyiarkan "Rancangan Terroris" yang hendak meledakan salah satu masjid kota Yafa di pusat Palestin 1948, yang akan dilakukan sekelompok ekstrimis Yahudi yang ditangkap baru-baru ini.
Beberapa sumber melaporkan, Selasa (17/5) bahawa polisi Israel baru-baru ini menangkap sekumpulan Yahudi terdiri dari 7 orang anggota, dipimpin penguam Israel, Gore Finkelctien, dengan tuduhan merancang meletupkan Masjid Agung Hasan Beik di Yafa, membunuh imam masjid dan para jamaah warga Palestin.
Menurut rancangan tersebut, mereka akan meletupkan masjid menggunakan bom yang akan diledakan setelah solat Jumaat, selepas operasi yang mereka sebut sebagai "Penarikan Harga" bagi ekstrimis Yahudi.
Disebutkan bahawa Masjid Agung Hasan Beik selama beberapa tahun terakhir menjadi sasaran serangan perkauman pihak ekstrimis Yahudi. Sebahagiannya dengan meruntuhkan menara masjid, melempar kepala babi ke dalam masjid dan usaha pembakaran serta memusnahkan seluruh masjid.
Jihad Islam menegaskan Keselamatan Tebing Barat masih mensasarkan ahli-ahlinya
Isnin , 23/05/2011 – Gerakan Jihad Islam telah memperbaharui tuduhan bahawa badan keselamatan Tebing Barat terus mensasarkan ahli-ahlinya setelah menandatangani perjanjian persatuan bersejarah antara puak-puak yang memerintah wilayah Palestin.
Gangguan terhadap Jihad Islam oleh badan-badan keselamatan Tebing Barat sebenarnya telah berlaku sejak menandatangani perjanjian kesatuan "dalam usaha oleh beberapa pihak untuk mengganggu suasana perdamaian dan kesatuan antara puak-puak perlawanan," kata seorang pegawai Jihad Islam dalam kenyataan akhbar, pada hari Rabu.
Agensi-agensi itu menangkap sepuluh ahli Jihad Islam, termasuk seorang yang lumpuh, ketika serangan di tengah acara Hari Nakba di Jenin dan Al-Khalil.
Mesir desak buka sempadan Rafah
Isnin , 23/05/2011-Rakan kemanusiaan antarabangsa menyeru Majlis tentera dan kerajaan di Mesir untuk memenuhi janji mereka untuk menyelesaikan pengepungan di Semenanjung Gaza, membuka sempadan Rafah dan membebaskan para tahanan Palestin.
Rakan kemanusiaan berkata penduduk Gaza telah terdedah selama 63 bulan kepada sekatan yang tidak adil dan masih tidak dapat hidup secara normal. Organisasi ini juga menyeru agar mereka melepaskan semua tahanan Palestin dari penjara Mesir dan membolehkan mereka kembali ke rumah mereka.
Arak: Malaysia lebih teruk dari negara bukan Islam
KUALA LUMPUR, 23 Mei: Kemunculan Malaysia sebagai negara yang menduduki tangga ke-10 peminum arak paling ramai di dunia, jelas meletakkan Malaysia sebagai negara lebih teruk dari negara-negara bukan Islam di seluruh dunia.
Dengan kedudukan itu juga, jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno dalam mendidik rakyatnya tentang bahaya arak agar menjauhinya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) berkata, kejadian itu turut menjadi satu tamparan hebat kepada umat Islam di negara ini, memandangkan negara ini adalah negara umat Islam dengan Islam sebagai agama rasminya.
Menurut beliau, dalam masa yang sama, ia turut melibatkan maruah para mufti sendiri di tanah air kerana Malaysia turut memiliki mufti yang ramai yang berjumlah 14 orang di seluruh negara.
Katanya, selain itu, ia turut memberikan tamparan hebat kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam yang berada di JPM yang walaupun tidak mempunyai kementerian khusus, tetapi berfungsi sebagai menteri yang bertanggungjawab penuh terhadap hal ehwal Islam di negara ini.
"Memang amat mengaibkan. Dah lebih 50 tahun Kerajaan BN yang ditunjangi Umno memerintah negara ini, tetapi masih gagal mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Akhbar milik MCA, The Star semalam menyiarkan statistik tahun ini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa Malaysia menduduki "ranking Top 10" peminum arak paling ramai di dunia.
WHO turut menjelaskan, Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan beer di Malaysia pula mencecah 11 liter per kapita.
Menurut Ustaz Taib, para pemimpin Umno sepatutnya berasa malu dengan statistik itu, memandangkan sebelum ini mereka begitu bangga apabila Amerika Syarikat mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh.
Antara pemimpin Umno yang jelas menyuarakan kebanggaannya dengan pengiktirafan Amerika itu termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri.
"Jadi sekarang apakah sudahnya? Patutlah Amerika mahu Malaysia jadi negara Islam contoh. Tidakkah para pemimpin Umno malu dengan apa yang berlaku itu?" katanya sinis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, walaupun secara dasarnya statistik itu melibatkan orang bukan Islam, tetapi kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan BN tahu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan BN tidak sepatutnya membiarkan rakyatnya begitu bebas dengan minuman arak, tetapi mestilah ada dasar tertentu yang perlu dilaksanakan bagi kawalan dan pemantauannya.
"Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar-dasar tertentu ke arah mendidik rakyatnya agar faham dengan bahaya minuman keras. Tetapi tanggungjawab itu ternyata gagal dilaksanakan oleh Kerajaan BN," katanya.
Beliau turut bimbang jika statistik itu juga turut membabitkan umat Islam sendiri, memandangkan di negara kita sememangnya terdapat anak pemimpin sendiri yang menjadi taukeh syarikat arak terbesar di Filipina, San Miguel, manakala bapanya pula asyik menghentam ulama kononnya dialah yang lebih pandai mengenai hukum-hakam.
Lebih jauh dari itu, katanya, walaupun umat Islam sendiri tidak meminumnya, tetapi kegitan itu juga pasti turut melibatkan umat Islam kerana persoalan arak itu sendiri melibatkan 10 perkara atau 10 pihak.
"Antaranya termasuklah pihak yang mengeluarkan lesen penjualan arak, orang yang menyediakan pembuatannya, orang yang menghidangnya dan orang yang mengangkutnya.
"Walaupun saya hanya menyebut beberapa perkara dari 10 perkara itu, tetapi dari yang saya sebutkan itu, tidakkah ia juga turut terbabit dengan umat Islam?" tegasnya.
Dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-10 peminum arak tertinggi di dunia, jelas beliau, ternyata menunjukkan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak mengambil berat tentang perkara itu, walaupun ia akan mendatangkan kesan amat buruk kepada negara.
"Arak adalah ibu maksiat. Jika ia tidak ditangani dengan baik, ia pasti akan mendatangkan masalah besar kepada peminumnya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, termasuk mempertingkatkan lagi kes-kes gejala sosial," katanya.
Menurut beliau lagi, tokoh gerakan Islam, Al-Syahid Syed Qutb di dalam bukunya "Fi Zilli Quran" menjelaskan, kelebihan kepimpinan Islam antara lain akan menjaga dan mendokong kedaulatan agama, dakwah dan akhlak rakyatnya.
"Dalam Umno BN ternyata tidak ada landasan itu. Ia amat berbeza dengan PAS. Inilah yang perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini dengan memberikan sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat, bagi membolehkan negara muncul sebagai negara yang diberkati Allah," ujar beliau.
(Sumber : Harakah)
Nisa' satu pengenalan
NISA’ berhasrat untuk menjalin hubungan akrab dengan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, media serta NGO dalam usaha NISA’ untuk berkhidmat kepada masyarakat.
MISI NISA
KEAHLIAN NISA'
LOGO DAN SLOGAN NISA'
Slogan NISA' ialah "Penghubung Generasi Muda" atau "Connecting Youth", menggambarkan kesungguhan NISA' untuk menyatukan generasi muda melalui pendekatan bersepadu dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
Logo NISA' ini direka khusus bagi menggambarkan imej terkini dan perubahan NISA'.
Huruf "N" pada logo bukan sahaja melambangkan nama NISA', malahan ia membawa maksud "New" ataupun "Baru" dari sudut pendekatan dan idea baru untuk generasi muda.
Warna kelabu menggambarkan impian NISA' untuk menjadi sebuah organisasi profesional bagi golongan muda yang terbilang.
Warna ungu pula mewakili imej baru NISA' yang ceria, segar, serta 'loving and caring' terhadap generasi muda.
Latar belakang yang berbentuk bulatan menggambarkan matlamat NISA' yang ingin meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
23 May 2011
Hati sihat vs Hati sakit
TANDA-TANDA HATI YANG SAKIT
1. Hati yang sakit tidak membisikkan kepada tuannya untuk mencapai tujuan hidup iaitu untuk mengenali Allah, mencintai-Nya, merindui untuk bertemu dengan-Nya, kembali kepada-Nya dan mengutamakan-Nya dari segala bentuk syahwat (yakni keinginan diri kepada dunia, keseronokan, harta dan wanita). Oleh itu, seorang hamba yang memiliki hati yang sakit, ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan syahwatnya dari mentaati Allah dan menyintaiNya. Hidupnya adalah dengan bertuhankan hawa nafsunya sendiri sebagaimana firman Allah;
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjadi pelindungnya (dari kesesatan)?”. (al-Furqan; 43)
2. Orang yang mempunyai hati yang sakit, antara tandanya ialah ia tidak kisah dengan dosa dan maksiat. Apabila ia melakukan maksiat, ia tidak rasa berdosa, resah atau gelisah kerana melanggar perintah Allah. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih, hatinya akan berasa sakit dan pedih apabila tersilap atau tersengaja melakukan dosa, lalu ia segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya. Firman Allah tentang sifat-sifat orang bertakwa;
“(Dan antara tanda orang bertakwa ialah) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali Imran: 135)
3. Orang yang mempunyai hati yang sakit, ia tidak kisah dengan kejahilan dirinya. Ia tidak berasa resah dan gelisah sekalipun menyedari diri jahil tentang kebenaran. Akibatnya, ia tidak berusaha mencari ilmu. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih. Ia tidak senang duduk apabila menyedari diri masih jahil. Ia akan berusaha menuntut ilmu bagi membuang kejahilannya. Berkata ulamak; “Tidak ada maksiat yang dilakukan oleh hamba yang lebih keji dari membiarkan diri dalam kejahilan”. Pernah ditanya kepada Imam Suhail; “Apakah perkara yang lebih buruk dari kejahilan?”. Ia menjawab; “Jahil tentang kejahilan diri sendiri”.
4. Antara tanda orang yang hatinya sakit ialah ia berpaling dari makanan-makanan yang memanfaatkan hatinya, sebaliknya ia cenderung kepada racun-racun yang merosakkan hatinya. Makanan-makanan hati ialah ilmu dan ibadah termasuklah solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun racun bagi hati ialah dosa dan maksiat. Orang yang memiliki hati yang sakit, ia lebih suka mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dari mendengar ayat-ayat al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Baginya kelazatan melakukan maksiat lebih hebat dari kelazatan taqarrub kepada Allah. Padahal Nabi s.a.w. bersabda; “Akan merasai kelazatan iman sesiapa yang reda Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabinya”. (Riwayat Imam Muslim)
5. Orang yang hatinya sakit, ia menjadikan dunia sebagai watannya; ia reda dengan dunia dan berasa tenang dengan kehidupan di dunia, lalu ia tidak mengharapkan akhirat dan tidak melakukan persediaan untuk akhirat. Ia tidak mengambil sikap seperti yang dipesan oleh Nabi s.a.w.; “Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau seorang pengembara”. (Riwayat Imam al-Bukhari).
TANDA-TANDA HATI YANG SIHAT
1. Hati yang sihat, tandanya yang pertama ialah cintakan Allah dan tanda kecintaannya kepada Allah ialah; tuannya banyak berzikir kepada Allah. Hati ibarat periuk dan lidah adalah senduknya. Senduk mengeluarkan apa yang di dalam periuk. Lidah pula mengeluarkan apa yang ada di dalam hati. Jika di dalam hati penuh dengan perasaan cintakan kepada Allah, maka akan lahirlah di lidah zikrullah. Namun jika di dalam hati penuh dengan kufur, fasiq dan maksiat, maka akan lahirlah di lidah umpatan, adu-domba, ucapan kotor dan mencarut.
2. Hati yang sihat sentiasa menyedarkan tuannya supaya kembali kepada Allah; bergantung harap pada Allah umpama seorang pencinta yang terdesak bergantung harap kepada orang yang dicintainya. Ia merasakan tidak ada kehidupan, tidak ada kejayaan, tidak ada kenikmatan dan tidak ada keseronokan kecuali dengan reda Allah dan hampirnya ia dengan Allah. Dengan Allah ia merasai tenang dan tenteram, kepada Allah ia berlindung dan bertawakkal, kepada Allah jua ia yakin dan percaya, menaruh harapan dan menyimpan rasa takut.
3. Di antara tanda hati yang sihat ialah jasad suka berbakti dan berkhidmat kepada Allah tanpa ada rasa jemu di hati. Rasulullah s.a.w. menunaikan solat hingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila dipersoalkan kenapa beliau bersusah diri untuk beribadah hingga sedemikian rupa, beliau menjawab; “Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur” (Riwayat Imam al-Bukhari). Yahya bin Mu’az pernah berkata; “Sesiapa merasa seronok berkhidmat kepada Allah, nescaya segala benda seronok berkhidmat kepadanya. Sesiapa yang senang matanya melihat perkara yang diredai Allah, nescaya semua orang senang melihat kepadanya”.
4. Antara tanda hati yang sihat ialah seseorang itu amat menjaga waktu dan hartanya dari dibazirkan kepada perkara-perkara di luar dari ketataan kepada Allah. Ia menyedari bahawa waktu dan harta adalah modal yang dikurniakan Allah untuknya bagi dilaburkan untuk mendapat keuntungan di akhirat. Kerana itu, setiap saat dari waktunya dan setiap sen dari hartanya akan digunakan untuk mentaati Allah bagi mendapatkan pahala dan keredhaan dariNya.
5. Antara tanda sihat dan bersihnya hati seseorang ialah perhatiannya terhadap kesahihan dan penerimaan Allah terhadap amalannya lebih diutamakan dari amalan itu sendiri. Yang di ambil kira bukan banyaknya amalan, tetapi keelokan amalan dan penjagaannya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Kerana itu, orang yang bersih hatinya sentiasa menjaga keikhlasan dan ikutan kepada as-Sunnah dalam setiap amalannya kerana ia mengetahui bahawa tanpa keikhlasan dan tanpa mengikuti petunjuk Nabi s.a.w., amalan yang dilakukannya tidak akan diterima Allah.
6. Di antara tanda sihatnya hati seseorang ialah apabila ia tertinggal wiridnya atau sesuatu dari amalan taat, ia rasa kecewa dan rugi lebih dari perasaan rugi yang dirasai oleh orang yang kehilangan harta dan keluarga. Ia menyedari bahawa tertinggal wirid dan amalan ketaatan itu merupakan kerugian di akhirat. Tidak ada apa-apa pada kerugian duniawi jika dibandingkan dengan kerugiaan di akhirat. Harta benda dunia akan musnah, adapun kenikmatan di sisi Allah di akhirat tidak akan musnah selamanya.
“Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”. (an-Nahl: 96)
7. Seorang hamba yang hatinya sihat dan bersih, keinginannya hanya satu iaitu untuk mentaati Allah. Perasaan dalaman yang menggerakkannya ialah cintanya kepada Allah dan harapannya untuk merasai kelazatan melihat wajah Allah.
“Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun yang patut di balas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang maha tinggi”. (al-Lail: 17-20)
8. Seorang yang hatinya sihat dan bersih, kalam Allah adalah ucapan yang paling disukainya. Berkata Ibnu Mas’ud r.a.; “Sesiapa ingin mengetahui apakah ia kasih kepada Allah atau tidak, hadapkan dirinya kepada al-Quran. Jika ia kasih kepada al-Quran, itu maknanya ia kasih kepada Allah kerana al-Quran adalah Kalam Allah”. Diceritakan bahawa beliau (yakni Ibnu Mas’ud) mencium mushaf al-Quran dan berkata; “Kalam Tuhanku! Kalam Tuhanku”.
9. Antara tanda hati yang salim ialah mengutamakan akhirat daripada dunia. Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; “Selagi hati selamat dari penyakitnya, ia akan berjalan menuju akhirat dan menghampirinya hingga menjadilah ia ahlul-akhirah (golongan yang beramal untuk akhirat). Namun apabila hati sakit, ia akan melebihkan dunia dan menjadikan dunia watannya hingga menjadilah ia ahlul-dunya (golongan yang beramal semata-mata untuk kepentingan duniawi”. (Ighasah al-Lahfan, halaman 94-95).
20 May 2011
Usrah & Kepentingannya
Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH
Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
- Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
- Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
- Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
- Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:
- Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.
Dipetik dan diubah suai daripada risalah "Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah" oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.